Kesalahan Pakaian Lelaki Dalam Islam
Biasanya kita membicarakan soal pakaian dan aurat wanita, kali ini kita ingin menyentuh tentang kesalahan pakaian lelaki pula. Orang-orang lelaki sekarang ramai yang tidak endahkan dosa pahala mereka dalam berpakaian. Mungkin kerana kurangnya penekanan sejak dibangku sekolah. Malah seluar pendek yang tidak menutup aurat itu diiktiraf sebagai pakaian sukan yang sah di negara ini.
Ikuti keterangan lanjut tentang kesalahan pakaian lelaki di bawah:
Isbal.
Isbal iaitu menurunkan atau memanjangkan pakaian hingga di bawah tumit. Larangan isbal bersifat umum untuk semua jenis pakaian seperti seluar panjang, kain pelikat, gamis atau pakaian lainnya. Ironinya, larangan ini dianggap remeh oleh kebanyakan umat Islam, padahal dalam pandangan Allah ia merupakan masalah besar.
Rasulullah SAW bersabda:
“Kain yang memanjang hingga di bawah mata kaki tempatnya di Neraka.” (HR. Al-Bukhari, shahih).
Ancaman bagi musbil (orang yang melakukan isbal ) dengan Neraka tersebut sifatnya adalah mutlak dan umum, baik dengan maksud takbur atau tidak. Jika isbal tersebut dilakukan dengan maksud takbur maka ancamannya lebih besar.
Nabi SAW bersabda:
“Pada hari Kiamat, Allah tidak akan melihat kepada orang yang menyeret bajunya (musbil, ketika di dunia) kerana takbur.” (Muttafaq Alaih, shahih).
Dan secara tegas Nabi SAW melarang kita kaum lelaki melakukan isbal. Beliau SAW bersabda:
“Dan tinggikanlah kainmu hingga separuh betis, jika engkau enggan maka hingga mata kaki. Dan jauhilah olehmu memanjangkan kain di bawah mata kaki, kerana ia termasuk kesombongan, dan sungguh Allah tidak menyukai kesombongan.” (HR. Abu Daud dan At-Tirmidzi dengan sanad shahih , At-Tirmidzi berkata, hadits ini hasan shahih).
Hadis di atas memberi kata putus terhadap orang yang beralasan bahawa memanjangkan kain hingga di bawah mata kaki dibolehkan asal tidak kerana sombong. Ini adalah alasan batil dan dicari-cari untuk membenarkan kebiasaan mereka yang menyalahi sunnah.
Hadis di atas dengan tegas memasukkan perbuatan isbal sebagai sikap sombong, apatah lagi jika memang berniat untuk sombong. Maka jelaslah ancamannya sangat berat. Dan fakta menunjukkan, lelaki yang musbil itu, memanglah pada umumnya untuk bergaya yang di dalamnya ada unsur bangga diri dan sombong. Buktinya kebanyakan mereka menganggap kekampungan, kolot serta melecehkan saudara-saudara mereka yang mengenakan pakaian di atas mata kaki, padahal itulah yang diperintahkan syariat.
Adapun kaum wanita, mereka diwajibkan menutupi tubuhnya hingga di bawah mata kaki, kerana ia termasuk aurat.
Namun hakikatnya, yang dipraktikkan umat Islam di zaman ini adalah sebaliknya.
Lelaki memakai pakaian hingga di bawah tumit, sedang wanita pakaiannya jauh di atas tumit.
Naudzubillah, dan kepada Allah kita memohon keselamatan
Mengenakan pakaian nipis dan ketat.
Dalam kaca mata syariat, jika bahan-bahan pakaian itu sangat nipis sehingga menampakkan aurat, lekuk-lekuk tubuh atau sejenisnya maka pakaian itu tidak boleh dikenakan.
Perkara ini berdasarkan firman Allah Taala:
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.” (Al-A’raf: 26).
Tetapi jika pakaian itu tidak menampakkan aurat dan lekuk-lekuk tubuh maka hal itu tidak mengapa. Namun jika pakaian itu menyerupai dan menunjukkan identiti pakaian orang kafir maka ia tidak dibolehkan.
Dan kebiasaannya lelaki yang body builder, kaki gym memakai baju ketat untuk menunjukkan ototnya yang berketul-ketul itu.
Mengenakan pakaian yang menyerupai pakaian wanita.
Di antara fitrah yang disyariatkan Allah kepada hambaNya iaitu agar lelaki menjaga sifat kelelakiannya dan wanita menjaga sifat kewanitaannya seperti yang telah diciptakan Allah. Jika hal itu dilanggar, maka yang terjadi adalah kerosakan hidup di masyarakat.
Dalam hadis shahih disebutkan:
“Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (HR. Al-Bukhari).
Sebagian ulama berkata, ‘Yang dimaksud menyerupai dalam hadis tersebut adalah dalam hal pakaian, berdandan, sikap, gerak-geri dan sejenisnya, bukan dalam berbuat kebaikan.’ Kerana itu, termasuk dalam larangan ini adalah larangan mendandan rambut, memakai anting-anting, kalung, gelang kaki dan sejenisnya bagi lelaki, sebab perkara-perkara tersebut adalah kekhususan bagi wanita.
Rasulullah bersabda:
“Allah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.” (HR. Abu Daud, Shahihul Jami’ , 5071) .
Mengenakan pakaian mengikut trend.
Sebahagian umat Islam, terutama remaja sering tergila-gila dengan fesyen pakaian yang sedang menjadi trend atau pakaian yang dikenakan oleh para artis dan idola mereka. Seperti pakaian bergambar penyanyi, kumpulan-kumpulan muzik, botol dan cawan arak, gambar-gambar makhluk hidup, salib atau lambang-lambang kelab-kelab bolasepak dan organisasi-organisasi non Islam, juga slogan-slogan kotor yang tidak hormat dan kebersihan diri, yang biasanya ditulis di belakang t’shirt dengan bahasa Malaysia atau bahasa-bahasa asing.
Pada umumnya para pemakai pakaian-pakaian tersebut merasa bangga dengan pakaiannya, bahkan dengan maksud untuk memperoleh populariti kerana pakaiannya yang aneh tersebut.
Padahal Nabi bersabda:
“Barangsiapa mengenakan pakaian (untuk memperolehi) populariti di dunia, niscaya Allah mengenakan kepadanya pakaian kehinaan pada hari Kiamat.” (HR. Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Ibnu Umar, hasan).
Imam Asy-Syaukani berkata, ‘Hadis di atas menunjuk-kan diharamkannya mengenakan pakaian untuk meraih populariti. Dan larangan tersebut tidak khusus terhadap pakaian untuk populariti, tetapi termasuk juga pakaian yang berlawanan dengan pakaian masyarakat pada umumnya (yang bertentangan dengan agama/etika).
Jika pakaian itu untuk maksud populariti, maka tidak ada bezanya antara pakaian yang mahal atau murah, sesuai dengan yang dikenakan orang pada umumnya atau tidak, sebab pengharaman tersebut bergantung (niat) populariti.’
Mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat.
Seperti memakai seluar pendek atau pakaian sukan lainnya yang menampakkan peha. Aurat lelaki adalah dari pusat sehingga dua lutut.Oleh itu, peha termasuk aurat. Setiap muslim diperintahkan menutup dan menjaga auratnya kecuali di depan isteri atau hamba sahayanya.
Ketika Rasulullah SAW melihat sahabat Ma’mar tersingkap pehanya, beliau SAW bersabda:
“Wahai Ma’mar, tutupilah pehamu, kerana peha adalah aurat.” (HR. Ahmad).
“Jagalah auratmu kecuali dari isterimu atau hamba sahayamu.” (HR. Imam lima kecuali An-Nasa’i dengan sanad hasan).
Tidak memperhatikan masalah pakaian ketika masuk masjid.
Sebagian orang yang akan menunaikan solat berjemaah tidak peduli dengan pakaian yang dikenakannya. Misalnya masuk masjid dengan mengenakan jenis pakaian sebagaimana disebutkan pada point keempat.
Solat adalah untuk menghadap kepada Allah, kerana itu kita harus mengenakan pakaian yang bagus dan indah sebagaimana yang diperintahkan.
Allah berfirman:
“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid.” (Al-A’raf: 31).
Disunahkan pula agar kita memakai wangi-wangian ketika hendak ke masjid dan menghindari bau-bauan yang tidak sedap. Demikianlah yang dituntunkan dan dipraktikkan baginda Nabi SAW dan para sahabatnya yang mulia.
Mengenakan pakaian bergambar makhluk bernyawa.
Apalagi gambar orang-orang kafir, baik penyanyi, seniman, pembesar atau orang-orang terkenal lainnya. Mengenakan pakaian bergambar makhluk bernyawa adalah haram, baik gambar manusia atau haiwan.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Setiap tukang gambar ada di Neraka, Allah menciptakan untuknya (dari) setiap gambar yang dia bikin sebuah nyawa, lalu mereka menyiksanya di Neraka Jahannam.” (HR. Muslim).
“Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar-gambar.” (HR. Al-Bukhari).
Adapun gambar orang-orang kafir maka memakai atau menggunakannya mudaratnya akan semakin besar, sebab akan mengakibatkan pengagungan terhadap mereka.
lelaki menggunakan perhiasan emas dan kain sutera.
Sekarang banyak kita jumpai barang-barang perhiasan untuk lelaki yang terbuat dari emas. Seperti jam tangan, kaca mata, butang baju, pen, rantai, cincin dan sebagainya.
Dari Ibnu Abbas RA bahawasanya Rasulullah SAW melihat cincin emas di tangan seorang lelaki, serta merta baginda menngambilnya lalu membuangnya, seraya bersabda:
“Salah seorang dari kamu sengaja (pergi) ke bara api, kemudian mengenakannya di tangannya!’ Setelah Rasulullah SAW pergi, kepada lelaki itu dikatakan, ‘Ambillah cincinmu itu dan manfaatkanlah!’ Dia menjawab, ‘Demi Allah, selamanya aku tidak akan mengambilnya, kerana Rasulullah SAW telah membuangnya.” (HR. Muslim, 3/1655).
Dan Rasulullah SAW bersabda:
“Dihalalkan emas dan sutera itu untuk kaum wanita dari kaumku dan diharamkan keduanya bagi kaum lelaki dari nya.” (HR. Ahmad, At-Tirmidzi dan An-Nasa’i, shahih).
0 Komentar untuk "7 Kesalahan Pakaian Lelaki Dalam Islam Tanpa Anda Sedari"