KOTA BHARU – Bapa saudara dihukum penjara 36 tahun dan 30 sebatan; rakan lelaki itu pula dihukum penjara 30 tahun dan sembilan sebatan, manakala bapa mangsa dihukum penjara setahun setengah oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Kesemua hukuman itu diputuskan Hakim, Nazri Ismail terhadap buruh berusia 22 tahun dan rakan sebayanya, Che Hasan Basri masing-masing kerana tiga tuduhan merogol mangsa sejak usia sembilan tahun.

Bapa mangsa pula dihukum kerana mencabul kehormatan anak perempuannya itu pada usia 11 tahun. Kesemua mereka dihukum selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan terhadap mangsa di dalam sebuah bilik di rumah alamat Kampung Gong Chokoh, Pasir Puteh, dari tahun 2014 hingga 2016.

Bapa saudara mangsa didakwa pada tuduhan pertama merogolnya pada jam 5 petang dalam Mei 2014 (mangsa berusia sembilan tahun tujuh bulan).

Kedua, pada pertengahan Januari dan Disember 2015 (mangsa berusia 10 tahun sebulan) dan ketiga pada tempoh sama tahun berikutnya ketika mangsa berusia 11 tahun sebulan).
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat minimum 10 kali. 
  
Nazri menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan itu serta mengarahkannya berkuat kuasa secara berturutan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Jun 2017.

Che Hasan pula didakwa pada tuduhan pertama merogol mangsa antara jam 1 dan 2 pagi dalam Mei 2014; kedua, pada pertengahan Januari dan Disember 2015 dan ketiga, pada pertengahan Januari dan Disember 2016.

Dakwaan terhadap Che Hasan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh itu dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan dan juga berkuat kuasa secara berturutan bermula dari tarikh tangkapan yang sama.

Bapa mangsa yang berusia 35 tahun pula mengaku salah mencabul mangsa antara jam 1 dan 2 pagi di lokasi sama pada awal tahun ini.

Hukuman penjara setahun setengah diputuskan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.

Terdahulu, mereka memohon hukuman ringan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wong Siew Mun mencadangkan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.


krdt: sinaran harian