SELEPAS membuat pengumuman mengejutkan mahu menukar identitinya daripada seorang lelaki kepada wanita beberapa bulan lalu, Bruce Jenner kini tampil berbeza.
Susuk tubuh dan wajahnya persis seorang wanita! Itu reaksi pertama kebanyakan peminat apabila melihat bekas pemenang pingat acara decathlete Sukan Olimpik itu sebagai penghias sampul majalah Vanity Fair terbaru.
Memetik laporan portal Dailymail, bapa tiri kepada selebriti sensasi Kim Kardashian ini memilih untuk mengenakan sepasang baju dalam sutera basque berwarna putih, lantas menampakkan bentuk implan payudaranya yang baru dibuat.
Bruce turut mendedahkan nama barunya dalam majalah sama, “Panggil saya Caitlyn.”
Sekali imbas, wajah Bruce atau Caitlyn memang saling tak tumpah seperti aktres drama bersiri popular, American Horror Story iaitu Jessice Lange. Sebiji kan?
Selain itu, Bruce turut mendaftarkan satu akaun baru, Caitlyn Jenner yang terus mendapat perhatian hingga diikuti lebih sejuta peminat dalam masa yang singkat.
Tulisnya di laman makro tersebut, “Saya sangat gembira setelah melalui pelbagai cabaran untuk hidup sebagai diri sendiri. Selamat datang ke dunia, Caitlyn. Tak sabar untuk membuatkan kesemua anda mengenalinya/saya.”
Bagaimanapun dia akui, pada satu masa dia diserang ketakutan apabila melihat dirinya yang sedang melakukan transformasi.
“Apa yang telah saya lakukan? Apa yang telah saya lakukan kepada diri saya?” ujarnya kepada diri sendiri selepas tersedar dari pembedahan kosmetik selama 10 jam, pada 15 Mac lalu.
– MYNEWSHUB.CC
0 Komentar untuk "Bruce Selesai Transformasi Jadi Wanita, “Panggil Saya Caitlyn”"