Berlangsung di Central Park, One Utama pada pukul 8 hingga 10 pagi tadi, acara ‘I Want To Touch A Dog’ dianjurkan bagi membuang stigma masyarakat khususnya Islam tentang bersentuhan dengan anjing.
Memetik laporan dari The Malaysian Insider, acara tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti Islam apabila dihadiri lebih 1000 pengunjung.
Menurut Siti Sakinah yang juga bekas guru agama, masyarakat menjadi takut dengan haiwan berkenaan kerana persepsi sejak azali bahawa menyentuh anjing itu haram.
Lantas, dia bersama empat anaknya mengambil bahagian dalam acara tersebut bagi mengubah mentaliti dan ketakutan mereka terhadap anjing.
“Ia juga untuk menunjukkan menyentuh anjing tidak haram. Ramai yang bimbang menyentuh anjing lebih kerana ia satu dosa, bukannya takut kepada dosa yang lebih besar,” ujarnya.
Menurut penganjurnya, Syed Azmi Alhabshi, acara yang julung kali diadakan ini dilihat berjaya kerana sasaran asalnya hanyalah dalam jumlah yang kecil sahaja.
“Kami hanya jangka 60 tapi ini sudah lebih dari 60. Ini amat menggalakkan dan saya harap saya menyediakan air yang cukup untuk anjing dan meminta maaf atas sebarang kekurangan.”
Selain daripada itu, acara tersebut juga mengadakan satu slot demonstrasi sertu (samak) selepas menyentuh haiwan berkenaan.
sumber: http://mynewshub.cc/2014/10/19/want-touch-dog-raih-sambutan-masyarakat-islam/
– MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR
0 Komentar untuk "‘I Want To Touch A Dog’ Raih Sambutan Masyarakat Islam"