BocorLagi

Blog Informasi Dan Hiburan Terkini!

loading...

Kami Banyak Kali Terlanjur Bila Sudah Mengandung Baru Menyesal

Kami Banyak Kali Terlanjur Bila Sudah Mengandung Baru Menyesal
Warti
Kuala Lumpur: “Saya lakukan pelbagai aktiviti termasuk kerja berat tanpa mengetahui saya sebenarnya sudah hamil tujuh bulan,” kata seorang wanita lepasan sebuah universiti swasta (US) di ibu kota dikenali sebagai Warti.
Warti, 24, kini menunggu masa melahirkan anak tidak sah taraf hasil hubungan dengan teman lelaki yang dikenali sejak di sekolah menengah.
Menurutnya yang juga anak ketiga daripada enam beradik dia cukup kesal dengan apa yang menimpanya dan kini hanya mampu bertaubat dan berjanji dengan keluarganya akan berkahwin dengan teman lelaki dan memelihara bayi yang bakal dilahirkan dengan sebaik mungkin.
“Kami banyak kali melakukan hubungan seks di rumah sewa teman lelaki ketika rakannya tiada.
“Pada awalnya tiada apa yang berlaku, namun saya mula bimbang apabila kerap muntah serta pening sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik dengan ditemani ibu saudara serta teman lelaki.
“Saya terkejut apabila doktor memaklumkan saya hamil tujuh bulan dan apa yang terbayang ialah perasaan ibu bapa jika mereka mengetahuinya,” katanya.
Menurut Warti, ketika itu dunia dirasakan gelap dan dia hanya mampu menangis walaupun ditenangkan teman lelaki, namun dia tetap bimbang dengan penerimaan ibu bapa serta keluarganya.
Katanya yang baru menamatkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat, ibu saudaranya turut berang namun mengawal perasaannya kerana tidak mahu memburukkan keadaan.
“Saya mengambil masa seminggu untuk memaklumkan kehamilan kepada ibu bapa dan mereka cukup kecewa dengan apa yang berlaku.
“Teman lelaki pula memaklumkan akan bertanggungjawab dan akan menikahi saya sebaik bayi dilahirkan,” katanya.
Keluarga yang bimbang dengan apa yang berlaku terhadap Warti menjadi tohmahan masyarakat mengambil keputusan menumpangkan wanita berkenaan di rumah perlindungan Baitul Fiqh, Subang Jaya sejak awal Januari lalu.
Menurut Warti, apa yang dilakukan kini mendalami ilmu agama sebaik mungkin selain bertaubat kerana dia cukup kesal dengan apa yang dilakukannya.
“Di Baitul Fiqh saya diberi lebih banyak pendedahan berkaitan agama seperti membaca al-Quran, kelas Fardu Ain dan kuliah oleh tenaga pengajar yang datang ke sini.
“Walaupun baru masuk ke sini, banyak yang saya belajar malah pengurusan Baitul Fiqh turut mengajar saya kemahiran seperti menghasilkan pelbagai jenis kuih dan kek.
“Saya juga terbabit dengan program bantuan kemanusiaan dianjurkan Baitul Fiqh seperti menyediakan bekalan makanan untuk dihantar kepada mangsa banjir di Manek Urai, Kelantan, baru-baru ini,” katanya.
Menurut Warti, dia kini lebih tenang dan menyatakan semua yang berlaku itu memberi banyak pengajaran kepadanya untuk menjadi insan lebih berguna.
“Saya insaf dan bertaubat atas kesalahan yang saya lakukan. Semoga kisah saya ini boleh dikongsi dengan wanita lain supaya kita tidak terlalu mengikut nafsu kerana akibatnya cukup buruk,” katanya.
0 Komentar untuk "Kami Banyak Kali Terlanjur Bila Sudah Mengandung Baru Menyesal"

 
Copyright © 2014 BocorLagi - All Rights Reserved
Template By Catatan Info