"Saya Merelakan Dia Meratah Tubuh Saya Kerana Sayang"
Saya hilang pertimbangan ketika pertama kali kenal dia. Bagi saya, Imran satu-satunya lelaki yang mampu membuka pintu hati saya, sekali gus membuang sikap malu dan pendiam yang mengunci diri saya selama ini.
Ya, saya gadis pemalu. Dari sekolah rendah hingga sekolah menengah, saya mendapat didikan agama yang sempurna daripada kedua ibu bapa, sementelah, ayah menjadi bilal kampung dan guru mengaji Al-Quran. Saya dan sembilan adik-beradik lain khatam Al-Quran di usia muda, antara sembilan ke 11 tahun.
Betul kata ustaz, iman tak dapat diwarisi dan itulah yang terjadi kepada saya selama ini. Saya tidak sangka, Imran yang saya puja dan cinta selama ini tergamak meninggalkan saya di saat kandungan mula membesar. Saya nanar dan hampir gila, malah pernah lari menyembunyikan diri di sebuah rumah perlindungan dengan harapan tidak dikesan keluarga.
Kisah saya bermula ketika Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), saya meraih keputusan cemerlang 4A 1B dan diterima masuk ke sekolah berasrama penuh di Perak. Kali pertama saya terpisah jauh dari keluarga menjadikan langkah semakin melebar di samping kalangan kawan yang boleh tahan perangainya.
Suatu hari, saya ditangkap warden asrama ketika cubaan ponteng kelas. Ayah dimaklumkan perkara itu dan dia serta ibu bergegas untuk melawat saya di Perak.
Hancur hati ayah bila dimaklumkan yang anaknya ini telah beberapa kali melanggar disiplin sekolah dan perlu digantung sebagai hukuman.
Ayah tidak dapat terima dan akhirnya membuat keputusan menukar saya ke sekolah biasa, agar saya lebih dekat dalam pemantauannya.
Keputusan ayah buat saya lebih memberontak tetapi disebabkan saya anak pendiam, ayah dan ibu tidak mengesan sebarang perubahan.
Ketika di tingkatan lima, saya mengenali Imran. Setahun perhubungan kami, saya kenalkan Imran kepada ibu dan ayah.
Hubungan kami tidak dilarang kerana kami sering bertemu di rumah dalam pengetahuan ayah. Sementara menunggu keputusan SPM, Imranlah yang membantu saya mencari kerja sampingan.
Tragedi hari raya
Suatu hari, Imran meminta izin untuk membawa saya berhari raya di rumahnya. Ayah membenarkan dengan syarat pulang sebelum petang. Di rumah Imran, saya diperkenalkan dengan keluarganya tapi belum pun sejam saya berada di situ, keluarga Imran mahu menziarahi keluarganya di luar daerah.
Rupa-rupanya Imran tahu keluarganya akan keluar dan terlebih dahulu memasang rancangan untuk berdua-duaan dengan saya. Di tangan Imran kegadisan saya diragut. Meskipun secara paksa tapi kerana sayang saya merelakannya.
Selepas saya dihantar pulang ke rumah, Imran tidak lagi menemui saya malah sering mematikan talian telefon. Kalau dapat bercakap pun hanya sekejap dan dia memberi banyak alasan untuk mengelak berbual dengan saya.
Dua bulan selepas itu, saya mengandung! Dunia tiba-tiba bagaikan gelap.
Saya takut dan hilang punca sehingga bertindak lari dari rumah dan pergi ke sebuah rumah perlindungan.
Di rumah itu, saya diberikan syarat, jika tidak mahu keluarga tahu, bayi yang dilahirkan perlu diserah kepada rumah perlindungan dengan semua kos bersalin dibiayai penuh. Namun, jika tidak mahu menyerahkan bayi, ibu bapa perlu dimaklumkan mengenai kemasukan saya ke rumah itu agar kos bersalin ditanggung keluarga sendiri.
Saya membuat pilihan pertama. Saya malu dan takut. Saya juga kasihankan ayah yang amat disegani penduduk kampung atas statusnya sebagai bilal. Imran pula menghilangkan diri selepas menghantar saya ke rumah perlindungan itu.
Suatu hari, seorang pelatih berlari masuk ke bilik saya sambil menangis. Saya bertanyakan sebab kepadanya dan dia menasihatkan saya agar keluar dari rumah itu jika tidak mahu senasib dengannya.
“Dik, sekarang memang awak kata awak tak nak anak awak, tapi percayalah dik. Selepas sembilan bulan awak mengandungkannya, awak akan jatuh sayang dan tak sanggup kehilangan anak awak.
“Kalau awak tak mahu sengsara macam akak, awak baliklah ke pangkuan keluarga.
Biar awak tanggung malu seumur hidup asalkan anak awak depan mata. Kita dah buat salah, sepatutnya kita berdepan dengan keluarga,” pesan Kak Mala sambil menangis.
Saya turut menangis saat terlihatkan kesusahan Kak Mala ketika mengepam susu dari payudaranya yang membengkak. Kata Kak Mala, air susu pertama itu sepatutnya untuk anak, tapi anaknya telah diserahkan kepada orang lain. Dia menderita kerana berpantang tanpa bayi di sisi.
Hari itu juga saya hubungi ayah. Ayah mengamuk satu alam. Saya tidak kisah dipukul kerana ayah berhak melepaskan kemarahan dan kekesalannya. Saat itu hanya penderitaan Kak Mala yang berputar depan mata.
Sebagai penyelesaian, ayah cuba menemui keluarga Imran untuk menikahkan kami. Malangnya, Imran sudah menghilangkan diri malah keluarganya turut memfitnah saya dengan mengatakan kandungan saya belum tentu anak Imran.
Saya terduduk. Tidak sangka Imran sekeji itu. Meskipun ibu bapa menjadi pelindung dan menemani saya setiap kali mendapatkan rawatan mengandung, saya tidak boleh mengelak daripada diumpat keji orang. Tekanan perasaan seperti itu buat saya selalu meracau sehingga mendapat kad pesakit mental daripada hospital.
Ibu pula terpaksa berulang alik ke mahkamah dan jabatan kebajikan masyarakat untuk mendapatkan jaminan penjagaan sepenuhnya ke atas saya dan bayi yang bakal lahir.
Saya benar-benar menyesal. Perbuatan saya bukan sahaja merosakkan masa depan sendiri, malah menyusahkan keluarga. Saya harap remaja di luar sana sedar sebelum terlewat.
Jangan jadi seperti saya; seorang yang bijak pelajaran kini pemegang kad pesakit mental akibat perbuatan bodoh sendiri.
Kisah ini diceritakan sendiri oleh Maya dan ibunya kepada wartawan Sinar Harian.
Sekali pandang, Maya seperti gadis lain. Dia cantik, ceria dan sihat malah kenal semua orang di sekelilingnya dan mampu menguruskan bayinya dengan baik.
Hanya ada waktu tertentu, apabila fikirannya bercelaru atau teringat kisah silam, Maya mengalami kemurungan dan mengamuk tanpa sebab.
Ketika itulah dia memerlukan perhatian penuh daripada ibunya. Ibu Maya terpaksa mendapatkan kebenaran dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia untuk memelihara anak Maya. sumber
0 Komentar untuk ""Saya Merelakan Dia Meratah Tubuh Saya Kerana Sayang""